Mizrin80’s Weblog

Renungkanlah dan Selamat Beramal…..

Archive for the ‘Tazkirah’ Category

Bulan Ramadan peluang mengislah diri

Posted by mizrin80 on September 22, 2008

Umat Islam seluruh dunia wajib bersyukur kerana masih lagi berkesempatan pada tahun ini menikmati kehadiran bulan Ramadan yang ditunggu-tunggu, kerana kedatangannya membawa seribu makna yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.

Apapun Ramadan memang benar-benar menjanjikan yang terbaik berupa amalan-amalan, yang bukan sahaja tidak dijanjikan pada bulan-bulan lain selainnya, malah setiap amalan itu pula diganjari dengan pahala yang berlipat kali ganda. Ia bertujuan untuk menggalakkan umat agar suka beribadat untuk mencari keredaan Allah SWT.

Ditambah pula dalam Ramadan terdapat ‘Lailatul Qadr’, tadarus al-Quran, tazkirah, sesi berbuka puasa dan sahur, qiamullail, iktikaf, pengeluaran zakat fitrah, sedekah, penyediaan juadah berbuka puasa untuk orang yang berpuasa, bersolat jemaah pada solat lima waktu, bersegera melakukan kebaikan dan banyak lagi merupakan amalan-amalan yang boleh melonjakkan prestasi seorang individu Muslim itu kepada Allah SWT.

Bayangkan, bahawa Rasulullah s.a.w. ada menegaskan dalam sebuah hadisnya yang diriwayatkan oleh Salman al-Farisi maksudnya, setiap amalan sunat seseorang Muslim itu pada bulan Ramadan dianggap sebagai satu amalan fardu, dan amalan fardunya pula diganjari hingga 700 pahala, ia bertujuan menggalakkan kepada semua agar bersungguh melakukannya dan meraih pahala daripada allah SWT.

Kaedah bagi melakukan pengislahan diri pada bulan Ramadan

* Iringkan diri anda sentiasa bersama niat yang suci untuk melakukan pengislahan diri sepanjang bulan Ramadan.

* Persiapkan diri anda dengan perancangan rapi untuk berubah dan sentiasa raikan perancangan tersebut.

* Paling utama yang perlu anda lakukan ialah pulihkan hubungan baik dengan Allah, jadikan Ramadan tahun ini sebagai langkah permulaan ke arah itu dengan sentiasa memerhatikan segala kekurangan yang telah anda lakukan terhadap-Nya dalam segenap tindakan beribadat sebelum kehadiran Ramadan.

* Jadikan Ramadan tahun ini untuk bertekad melakukan solat fardu pada awal waktu secara berjemaah di masjid atau surau, sama ada ketika berada di rumah atau di pejabat.

* Mulakan tekad untuk bertadarus al-Quran, bukan sahaja dalam bentuk bacaan, malah meneliti ayat-ayatnya yang terdiri daripada arahan, larangan, janji syurga dan neraka, pahala dan dosa, mengenai hukum-hukum Allah yang wajib dilaksana, ayat-ayat gembira, sedih, ancaman dan sebagainya bagi membangkitkan rasa tanggungjawab untuk menjadikan diri sebagai hamba Allah yang kerdil di sisi-Nya, kerana al-Quran adalah kitab Allah yang abadi hingga ke akhir zaman.

* Berjanji di hadapan Allah untuk menjadi hamba-Nya yang baik, dengan melakukan amar makruf dan nahi mungkar.

* Menjadikan pelaksanaan solat fardu lima waktu sebagai pemangkin kepada meninggalkan perkara-perkara terlarang, sepertimana yang ditegaskan Allah dalam al-Quran, ia dapat dilakukan melalui penghayatan terhadap segenap bacaan yang terkandung dalam ibadat tersebut.

* Bertekad untuk melakukan ‘taubat nasuha’ iaitu dengan niat dan berazam untuk meninggalakan segala kejahatan, tidak mahu mengulanginya semula, bersahabat dengan orang-orang yang boleh meningkatkan keimanan kepada Allah SWT, kerana setiap satu kesalahan walaupun kecil bentuknya, jika ia dilakukan, sesungguhnya ia telah mengundang kemarahan Allah, menggembirakan syaitan, menjauhkan diri anda daripada syurga, mendekatkan diri kepada neraka, menyebabkan Rasulullah s.a.w. sedih di dalam kubur, menyakiti para Malaikat, mengkhianati seluruh makhluk yang ada di muka bumi ini.

* Layani kedua-dua ibu bapa dengan baik dan sopan khususnya pada bulan Ramadan, ia juga termasuk menghormati golongan yang lebih tua daripada diri anda seperti abang, kakak, para guru dengan ungkapan yang boleh membangkitkan rasa hormat terhadap mereka.

* Berbuat baik terhadap jiran tetangga, kawan-kawan, saudara mara, mohonlah kemaafan atas kesalahan yang pernah anda lakukan terhadap mereka, bukan tunggu menjelangnya awal Syawal.

* Hadiri majlis-majlis tazkirah yang boleh membangkitkan kesedaran dan tanggungjawab terhadap agama.

* Carilah keaiban diri sendiri untuk melakukan pengislahan dengan bersungguh-sungguh, kerana sepanjang Ramadan adalah waktu yang palin sesuai untuk melakukannya, janganlah biarkan Ramadan berlalu tanpa melakukan perkara yang terbaik buat diri anda sendiri.

* Tinggalkan tabiat buruk menjelang Ramadan seperti suka melewatkan solat fardu, melepak, tidak suka berkunjung ke masjid atau surau.

* Hormati bulan Ramadan dengan menutup aurat dengan sempurna lebih-lebih lagi jika anda seorang Muslimah, kerana orang yang tidak menghormati bulan Ramadan dengan menjaga maruah dan harga dirinya tidak mungkin akan diberi syafaat (recommendation) Rasulullah s.a.w. untuk masuk syurga pada hari Kiamat.

Yang penting, pengislahan diri yang mahu anda lakukan itu pada bulan Ramadan, janganlah terhenti dengan kedatangan bulan Syawal, kerana Allah SWT bukan sahaja ada pada bulan Ramadan, malah sepanjang bulan, sepanjang masa Dia memerhatikan kita.

Mudah-mudahan Ramadan tahun ini adalah yang terbaik untuk kita persembahkan ke hadrat Allah SWT. Ingatlah saudara-saudari, umur kita semakin hari semakin meningkat tua, perhatikan sepanjang kita hidup yang sudah pun mencecah puluhan tahun dengan memakan rezeki Allah.

Apa yang telah kita lakuan untuk agama-Nya dari sudut sumbangan, jasa bakti seperti yang pernah ditonjolkan oleh pasa sahabat baginda sebelum mereka meninggal dunia. Sama-samalah kita fikirkan.

Posted in Tazkirah | Leave a Comment »

Israk Mikraj pencetus kesedaran ummah

Posted by mizrin80 on August 11, 2008

Peristiwa ini berlaku selepas kematian bapa saudara baginda, Abu Talib dan isteri Rasul, Khadijah binti Khuwailid bagi menghilangkan kegusaran baginda terhadap kematian kedua-duanya.

Perbincangan kali ini lebih tertumpu kepada persoalan bagaimana peritiwa Israk dan Mikraj menjadi inspirasi kepada umat Islam hari ini yang terlibat pada perkara hingga ke peringkat memfitnah Islam itu sendiri seperti tidak menunaikan solat, terlibat dalam pembunuhan dan meletupkan mangsa.

Di samping itu ada beberapa bahan penting yang boleh dikutip sekali gus berupaya menjadikan Muslim secara umumnya komited kepada agamanya melalui amalan masing-masing.

Peringatan kepada umat

Menurut beberapa riwayat mengenai peristiwa Israk dan Mikraj seperti yang disebut oleh Ibnu Hajar al-Haithami dalam kitabnya az-Zawajir juzuk 2 halaman 41, dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah s.a.w. menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api obor dan dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib.

Antaranya:

* Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru, keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah s.a.w. diberitahu oleh Jibril: Itulah kaum yang berjihad �Fisabilillah� yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

* Tempat yang berbau harum. Rasulullah s.a.w. diberitahu oleh Jibril: Itulah bau kubur Masyitah (tukang sikat rambut anak Firaun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Firaun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Firaun sebagai tuhan).

* Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula tanpa henti. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibril memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

* Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibril: Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

* Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibril: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami.

* Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibril: Itulah orang yang makan riba.

* Lelaki yang menghimpun sekumpulan kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibril: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

* Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibril: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

* Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibril: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

* Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibril: Itulah orang yang bercakap besar (takbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

* Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak mempedulikannya. Kata Jibril: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

* Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah s.a.w. tidak menghiraukannya. Kata Jibril: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

* Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibril: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan semua para Nabi dan Rasul menjadi makmum.

Rasulullah s.a.w. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Selepas menyaksikan pelbagai panorama, akhirnya sampailah mereka di Baitul Maqdis.

Di sana telah menanti satu jemaah para nabi terdahulu. Nabi Muhammad s.a.w. solat tahiyatul masjid dan Jibril menyuruh Nabi mengimami solat bersama barisan nabi terdahulu.

Kemudian Nabi dihidangkan dengan tiga gelas minuman berisi susu, arak dan madu. Nabi memilih gelas berisi susu, minuman fitrah manusia.

Hubungan Nabi Muhammad dengan rasul-rasul

Selesai upacara Israk, sampai ketika Nabi Muhammad diMikrajkan. Sejenis tangga yang canggih seakan eskalator membawa Nabi ke angkasa. Maka bermulalah episod mikraj dari langit pertama hingga ke tujuh dan kemudiannya ke Sidaratul Muntaha.

Setiap kali melalui lapisan langit, Jibril memberi salam dan sebaik malaikat penjaga langit membuka pintu, Nabi Muhammad s.a.w. diperkenalkan dengan nabi yang sedia menunggu di situ. Kesemua nabi mendoakan kesejahteraan ke atas Nabi Muhammad s.a.w.

Di langit pertama, baginda berjumpa Nabi Adam a.s., bapa segala manusia.

Di langit kedua berjumpa dengan Nabi Isa dan Yahya a.s.

Di langit ketigaerjumpa dengan Nabi Yusof a.s.

Di langit keempat berjumpa dengan Nabi Idris a.s.

Di langit kelima berjumpa dengan Nabi Harun a.s. Di langit keenam berjumpa dengan Nabi Musa a.s.

Di langit ketujuh berjumpa dengan Nabi Ibrahim a.s.

Setelah digambarkan kepada baginda beberapa keadaan ketika dimikrajkan (satu kelebihan diberikan kepadanya), beberapa peristiwa ngeri khususnya terjadi kepada golongan wanita yang dikatakan penghuni neraka yang paling ramai berdasarkan satu riwayat hadis.

Perkara itu berlaku kepada baginda yang diperlihatkan keadaan golongan wanita ahli neraka yang digantung dengan rambutnya, otak mendidih, nanah dan darah keluar daripada rongga terbuka dengan baunya yang cukup hanyir.

Ada wanita yang digantung dengan lidahnya, kemudian dituangkan air yang mendidih dari api neraka ke dalam rongganya.

Ada wanita yang diikat kakinya pada buah dadanya sementara kedua tangannya diikat pada ubunnya dan Allah memerintah kala jengking dan ular berbisa menyengatnya.

Ada wanita yang digantung (buah dadanya sahaja) sementara api menjulang di bawahnya.

Ada wanita di mana kepalanya seperti babi dan badannya seperti keldai, sementara ditimpa azab yang terlalu banyak ke atasnya.

Ada wanita badannya seperti anjing, sedangkan api sedang menyala masuk ke dalam mulutnya dan keluar menerusi duburnya, sementara para malaikat sedang memukul kepalanya dengan tongkat yang diperbuat daripada api neraka.

Itulah wanita yang enggan untuk menutup kepala dan dadanya dengan tudung di hadapan lelaki ajnabi, itulah juga wanita semasa hidup di dunia tidak mahu mandi junub dan haid serta lalai untuk bersembahyang.

Itulah juga wanita yang menyakiti tempat tidur suaminya, yang selalu suka mengadu perkara dusta, pembohongan, hasad dan dengki.

Begitulah yang diungkapkan Rasulullah s.a.w. di hadapan puterinya Fatimah dengan kata-kata: Hai anakku Fatimah! Neraka Wail buat wanita yang durhaka kepada suaminya.

Inspirasi perubahan agar umat sedar

Daripada fenomena peristiwa yang berlaku antara Nabi dan Jibril dalam isu Israk dan Mikraj sepanjang perjalanan yang digambarkan kepada Rasulullah s.a.w., adalah untuk jadi bahan renungan dan iktibar bagi generasi Muslim sepanjang zaman, terutamanya umat hari ini yang semakin hilang keyakinan diri kepada Allah selaku Pencipta.

Ia boleh disimpulkan sebagai himpunan peringatan buat individu yang mahu menjadikannya pula sebagai anjakan paradigma untuk terus melakukan perubahan diri meniti kesempurnaan.

Ini kerana peristiwa-peristiwa simbolik berkenaan jika dihalusi dengan teliti, mampu mengubah cara hidup Muslim yang boleh disifatkan sebelumnya sebagai individu yang lalai, jauh daripada pegangan agama.

Betapa suasana dan kesudahan mereka yang digambarkan dalam simbolik itu menggambarkan keadaan manusia nanti di alam akhirat dengan pelbagai gambaran yang amat mengerikan.

Apabila ia juga tidak mampu mengubah sikap, pendirian seseorang, bererti individu berkenaan telah dihijab hatinya daripada wahyu petunjuk Ilahi dan terus bebas melakukan penentangan terhadap Allah SWT.

Justeru, kita adalah disaran agar terus banyak berdoa kepada Allah Yang Maha Berkuasa, supaya memasukkan kita dalam himpunan hamba-Nya yang lunak hati untuk menerima kebenaran, kerana jika kita terus masih mengingkari kebenaran, maka kehidupan kita di dunia semakin sempit, malah akan dibutakan oleh Allah di akhirat hingga terjerumus masuk dalam neraka-Nya, Wal ‘Iyazu Billah.

Posted in Tazkirah | Leave a Comment »

Perihal ROKOK

Posted by mizrin80 on August 5, 2008

Assalamualaikum… aku terbaca artikel dari MB Klate ni. Bagus pandangan dia tentang hal ROKOK ni. Tak tau la pandangan orang lain terhadap dia. Yang aku suka pasal MB Klate ni, pandangan dia selalunya kontroversi tetapi akhirnya semua orang dapat menerima pandanganya. Mungkin tu la istemewanya ulama dan umara dari pantai timur ni. Renung2kanlah dan fikir2kan lah……..

<

Lebih baik menderma daripada beli rokok – MB

KOTA BHARU, 4 Ogos (Hrkh) – Mereka yang gemar merokok disaran meninggalkan tabiat buruk tersebut dan menggunakan wang membeli rokok itu untuk menderma.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, tidak seorang pun pegawai perubatan menyebut merokok tidak membahayakan kesihatan.

“Sekiranya wang berkenaan digunakan untuk menderma termasuk pembinaan masjid, dan sekolah, ia dapat membantu seseorang itu di akhirat kelak.

Kalau hisap rokok, bukan sahaja tak dapat pahala, penyakit pula yang datang,” ujarnya pada satu program di sini, baru-baru ini.

Ketika berucap sebelum itu beliau menyifatkan mereka yang enggan menunaikan ibadat solat seperti melakukan perbuatan kurang ajar kerana tidak mahu mengikut perintah Allah Taala.

“Lebih baik saya mengeluarkan perkataan kurang ajar di dunia ni berbanding balasan neraka jahanam kepada mereka yang tidak mengerjakan solat,” katanya.

Menurutnya dalam peristiwa Israk dan Mikraj Allah telah memperlihatkan kepada baginda bagaimana seorang hamba menghantukkan kepalanya ke batu sehingga pecah, kemudian bercantum kembali dan menghantuknya semula berulang kali.

“Peristiwa itu menggambarkan bagaimana balasan terhadap manusia yang engkar tidak mahu sujud kepada Allah sehingga akhirnya mereka terpaksa menghantuknya sendiri,” ujarnya.

Posted in Tazkirah | Leave a Comment »